Thursday, August 26, 2010

Tidak terhalang kejar impian pembentukan 1Malaysia sejati

by Ong Tee Keat on Tuesday, August 10, 2010 at 6:15pm



Kolum Dwimingguan dalam akhbar Sinar Harian



Politik negara kita ini telah lama dihantui oleh soal perkauman. Apa saja yang berbangkit dalam arena politik pasti boleh diperalatkan oleh orang politik untuk menepati kepentingan politik perkaumannya yang tertentu.



Dalam perspektif ini, ada yang menuding jari kepada wujudnya parti politik yang berteraskan kaum; ada pula yang mempersalahkan pihak yang sering kali mengungkitkan tuntutan satu-satu kaum. Malah sesetengah tokoh pendidikan berulang-kali berpolemik bahawa integrasi nasional hanya akan tercapai melalui pendidikan satu aliran sekolah, iaitu aliran sekolah kebangsaan.



Namun segala-gala ini tidak pernah memberikan kita penawar yang mujarab bagi mengubati gejala-gejala yang terus mengganggu-gugat integrasi kaum di bumi Malaysia ini. Sementara itu, kita memang tidak dapat menyangkal bahawa orang politik lah yang sebenarnya mencorakkan politik negara ini. Masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk, itu tetap satu hakikat. Namun ciri-ciri perbezaan kita, baik dari segi etnik mahupun agama dan budaya, tidak sekali-kali menjadi bibit-bibit perpecahan jika ianya tidak dieksploitasikan oleh orang-orang politik tertentu yang berfikiran sempit lagi perkauman.



Dalam kerjaya politik saya sekian lama, saya dapati lazimnya orang politik cenderung membeza-bezakan permasalahan rakyat mengikut etnik, sehingga ianya mudah memperkotak-katikkan daya usaha kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam perspektif etnik yang sempit.



Sebagai contoh, kenapakah hingga kini kita masih terperangkap dalam takuk minda lama yang terus menonjolkan peratusan penguasaan ekonomi negara mengikut etnik, sedangkan jurang perbedaan ekonomi yang wujud dalam sesuatu kaum tidak diberi penekanan yang sewajarnya.



Dalam perbincangan isu ekonomi pula, tidaklah bermakna sekiranya soal seperti bilangan tokoh-tokoh korporat Bumiputera atau bukan-Bumiputera yang terangkum dalam golongan sepuluh terkaya terus diheboh-hebohkan. Ini hanya akan menyemai hasad-dengki yang mudah dieksploitasikan oleh oportunis-oportunis politik perkauman, namun ianya tidak memberikan kita satu senario yang sebenarnya.



Bagi saya, penonjolan tokoh-tokoh korporat Cina yang ramai dalam golongan sepuluh yang terulung tidak bermakna tidak wujudnya masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat Cina. Demikian juga, pemberian pelbagai subsidi atau bantuan Kerajaan sejak sekian lama dalam pelbagai bidang tidak menepati matlamatnya untuk membantu golongan miskin yang sejati kerana ianya turut dikecapi bersama oleh semua lapisan masyarakat tanpa pemilihan yang selektif.



Selama ini saya tetap berimpian alangkah indahnya bumi Malaysia yang kaya dengan pelbagai sumber ini dapat memanfaatkan seluruh rakyat melalui pengujudan peluang bersaing yang saksama; dan bukannya menjadi sasaran pembolotan dan penguasaan segelintir orang politik yang tamak haloba lagi berkuasa.



Dalam usaha menangani isu PKFZ, saya rasa terpanggil untuk bertindak menerusi satu penyiasatan menyeluruh ketika saya menyandang jawatan Menteri Pengangkutan. Walaupun ianya telah memusnahkan kerjaya politik saya mengikut kaca mata umum, namun saya tidak pernah menyesal malahan berkeyakinan penuh bahawa keadilan hanya akan ditegakkan melalui tindakan mengheret pesalah-pesalah ke muka pengadilan, di samping berusaha mengembalikan wang pembayar cukai yang berjumlah berbilion-bilion yang kononnya telah dilesapkan dalam pelaksanaan projek sebelum ini.



Saya terkilan apabila dianggap berniat mencari pengaruh politik untuk menyelamatkan kerjaya politik saya ketika saya memberi komen mengenai perkara tersebut baru-baru ini. Saya memang tidak berjawatan lagi dalam pentadbiran, tetapi ia tidak sekali-kali menidakkan hak saya bersuara atas perkara sebegini yang berkepentingan rakyat. Pihak yang menegur saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit itu mahukan saya memfokuskan kepada daya maju dan masa depan projek PKFZ dan bukannya isu penyelewengan lampau.



Bagi saya, usaha untuk menyelamatkan projek PKFZ tidak bercanggah dengan inisiatif untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan melalui penyiasatan dan perundangan. Saya tidak faham kenapa pihak yang berkenaan perlu bersikap cepat melatah sebegini bila saja penyelewengan yang terkandung dalam projek ini dituding jari.



Pada masa yang sama, soal mencari pengaruh politik peribadi saya tidak timbul sama sekali. Mungkin bagi mereka yang bergantung bulat-bulat kepada kronisma politik demi rezekinya, survival politik memanglah segala-galanya. Tetapi saya tetap yakin dunia politik bukanlah satu persada yang tiada seinci ruang pun bagi kebenaran dan keadilan.



Juga saya tidak lupa sesetengah anasir dalam parti saya pernah memutarbelitkan tindakan saya terhadap PKFZ sebagai satu-satunya yang mensasarkan ahli korporat Cina. Ini sesungguhnya merupakan satu tuduhan berbaur perkauman yang lantang. Kedaulatan undang-undang negara sememangnya tidak mengenal kaum dan status sosial seseorang yang disabitkan kesalahan.



Saya mengeluh dan terkilan bukan kerana mereka berjaya menumbangkan kepemimpinan saya dalam parti MCA, tetapi atas kesanggupan mereka membela ‘pagar yang makan padi’ menggunakan alasan perkauman yang sempit.



Apa pun, tetap saya tidak sekali-kali terhalang daripada mengejar impian saya yang memperlihatkan terbentuknya “ 1Malaysia” yang sejati.



DATO’ Sri Ong Tee Keat adalah Ahli Parlimen Pandan dan mantan Menteri Pengangkutan.

No comments:

Post a Comment